Sunday, June 27, 2010
Tip Buku Minggu Ini – Cara Memilih dan Membeli Buku
Bagaimana keadaan anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun makin bertambah pengikut-pengikutnya. Terima kasih saya ucapkan kepada anda. Cuma satu saya nak pesan dan tolong ingatkan saya. Bagi yang dah ‘follow’ blog saya tapi saya belum ‘follow’ blog anda lagi, sila maklumkan kepada saya. Mana tahu kalau-kalau saya terlepas pandang. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Cara Memilih dan Membeli Buku.
Sebelum saya meneruskan penulisan artikel pada minggu ini, ribuan kemaafan saya pohonkan kepada anda yang sering mengikuti perkembangan blog ini. Pada minggu lepas, saya tidak berkesempatan untuk menyediakan artikel Tip Buku Minggu Ini kerana ada beberapa urusan penting yang perlu diselesaikan. Syukur kerana segalanya sudah selesai dan saya harap saya akan terus dapat berkongsi ilmu dengan anda melalui Tip Buku Minggu Ini. Baiklah, kita teruskan tip kali ini. Selamat membaca.
Saudara saudari yang dihormati,
Sebelum anda membeli buku, anda perlu memilih dan meneliti buku yang akan dibeli. Ini adalah penting supaya anda dapat menikmati buku yang dibeli dan merasakan suatu perbelanjaan yang berbaloi apabila anda membeli buku tersebut. Tip ini amat sesuai buat anda yang agak kekurangan bajet untuk membeli buku tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang kuat untuk membeli dan membaca buku kegemaran anda yang terdapat di kedai buku yang anda kunjungi.
Terdapat 3 perkara yang perlu anda beri perhatian ketika anda ingin membeli buku. Sebelum membeli, anda perlu memilih buku berdasarkan 3 perkara ini:-
Pertama, kualiti buku. Saya percaya anda pasti pergi ke bahagian rak-rak buku yang mengandungi buku-buku kegemaran anda mengikut topik atau bidang yang anda gemari. Namun, apa yang perlu anda perhatikan adalah kualiti buku tersebut. Terdapat sebahagian buku yang langsung tidak berkualiti tetapi meletakkan harga yang tinggi. Pembaca harus bijak menilai kualiti sesebuah buku dan nilainya yang berpatutan dengan harga yang ditetapkan. Sebut pasal harga, kita bincang dalam perkara seterusnya.
Kedua, harga buku. Kulit hadapan yang cantik dengan grafik yang mengancam, kulit keras, isi kandungan buku yang menggunakan kertas yang berkualiti tinggi serta padat dengan ilustrasi yang berwarna dan menarik menjadi punca harga buku tersebut menjadi mahal sedangkan isinya tidaklah seberapa. Harga dan kualiti adalah perkara yang amat berkait rapat antara satu sama lain. Saya sendiri pernah terjumpa buku yang dijual dengan harga yang murah sedangkan buku tersebut agak tebal dan padat dengan informasi yang menarik.
Ketiga, kepentingan buku tersebut. Selepas anda menilai kualiti dan berpuas hati dengan harga buku tersebut, adalah baik sekiranya anda memikirkan sejauh manakah kepentingan buku tersebut kepada anda. Adakah sekadar menambahkan lagi pengetahuan anda atau terdapat informasi-informasi yang berguna yang boleh anda praktikkan dalam kehidupan seharian anda? Adakah buku itu hanya untuk dijadikan bahan rujukan yang digunakan untuk tempoh waktu yang singkat atau akan diguna pakai dan dirujuk sehingga bertahun-tahun lamanya?
Kualiti, harga dan kepentingan sesebuah buku itu terletak pada diri anda sendiri. Andalah yang menilai sesebuah buku itu. Anda pasti sudah biasa mendengar pepatah Inggeris yang terkenal, “Don’t judge the book by its cover”. Selain dari melihat pada kualiti, harga dan kepentingan sesebuah buku, mungkin anda ada cara tersendiri ketika memilih dan membeli buku. Saya amat berbesar hati jika anda boleh berkongsi dengan saya dan para pembaca yang lain. Terima kasih kerana membaca. :)
Monday, June 14, 2010
Tip Buku Minggu Ini – Senarai Buku
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Bagaimana keadaan anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun makin bertambah pengikut-pengikutnya. Terima kasih saya ucapkan kepada anda. Cuma satu saya nak pesan dan tolong ingatkan saya. Bagi yang dah ‘follow’ blog saya tapi saya belum ‘follow’ blog anda lagi, sila maklumkan kepada saya. Mana tahu kalau-kalau saya terlepas pandang. Tip Buku Minggu Ini mengajak anda membuat Senarai Buku. Selamat membaca.
Sebelum saya meneruskan artikel kali ini, ingin saya maklumkan bahawa Program ReadMalaysia’10 yang bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Mines Resort City baru sahaja berakhir semalam. Tahniah saya ucapkan kepada anda yang dapat meluangkan masa berkunjung ke program tersebut. Saya sendiri sempat berkunjung pada hari kedua program itu berlangsung. Yang pastinya, saya seronok dengan tawaran potongan harga yang istimewa sehingga membuatkan saya membeli lebih daripada 3 buah buku. :)
Saudara pembaca yang dikasihi,
Baiklah, untuk minggu ini saya ingin berkongsi idea dengan anda tentang bagaimana membuat senarai buku. Terdapat 3 senarai yang perlu anda lakukan ketika anda membuat senarai buku. Aktiviti ini sedikit sebanyak dapat memberi kepuasan kepada anda sebagai penggemar buku untuk melihat kemajuan dan perkembangan aktiviti pembacaan anda.
Pertama, senarai buku yang sudah dibaca. Cuba senaraikan segala buku-buku yang telah anda baca. Lagi bagus kalau anda dapat senaraikan buku pertama yang anda baca sebaik sahaja anda mula pandai membaca. Bagi saya tiada masalah sekiranya anda senaraikan juga buku teks atau buku rujukan yang anda baca ketika di sekolah. Kemudian, anda menyambung pengajian di peringkat diploma. Katakan anda perlu menghabiskan 120 jam kredit sepanjang pengajian diploma selama 3 tahun. 1 subjek kebiasaannya berjumlah 3 jam kredit. 120 bahagi 3 bersamaan 40. Ini bermakna dalam tempoh 3 tahun, anda perlu belajar 40 subjek. Secara tidak langsung, anda telah membaca 40 buah buku dalam masa 3 tahun. Wah, satu senarai yang panjang! :)
Kedua, senarai buku yang sedang dibaca. Dalam satu masa, tidak mustahil anda membaca lebih daripada sebuah buku. Sebagai contoh, pada waktu siang saya membaca buku tentang kemasyarakatan. Pada sebelah malam, saya membaca buku agama. Aktiviti ini saya lakukan pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat. Pada hujung minggu pula, saya membaca buku motivasi. Ini bermakna saya membaca 3 buah buku dalam satu masa. Jadi, dalam senarai buku yang sedang saya baca, adalah berjumlah 3 buah buku. Anda juga boleh lakukan seperti saya malah lebih lagi.
Ketiga, senarai buku yang akan dibaca. Senarai ini boleh juga menjadi senarai buku yang akan anda beli. Boleh jadi anda sudah mempunyai buku-buku di rumah tetapi belum membaca kesemuanya. Jadi, masukkan saja judul buku-buku yang anda ingin baca ke dalam senarai ini. Selain itu, anda juga boleh berkunjung ke perpustakaan. Lihat buku-buku yang ada di perpustakaan yang menarik minat anda untuk membacanya. Cuba senaraikan.
Apa yang biasa berlaku adalah sewaktu anda berkunjung ke kedai buku atau perpustakaan, terdapat buku-buku yang menarik perhatian anda. Tetapi, anda tidak mampu untuk membeli atau membaca kesemuanya. Apa yang terjadi adalah selepas anda pulang dari kedai buku atau perpustakaan, anda sudah lupa buku-buku tersebut. Saya katakan demikian kerana saya sendiri mengalaminya! Membuat senarai buku-buku yang akan anda beli dan baca adalah satu langkah yang baik dan bijak. Jadi, apa yang perlu anda lakukan adalah, sediakan sebatang pen dan sebuah buku nota kecil atau sehelai kertas. Terus catatkan! :)
Kesimpulannya, membuat senarai buku-buku yang sudah, sedang dan akan dibaca merupakan satu cara yang efektif untuk melihat perkembangan aktiviti membaca yang anda lakukan. Cuba amalkan dan selamat mencuba.
Sunday, June 6, 2010
Tip Buku Minggu Ini – Cara Salah Pupuk Minat Baca Buku
Assalamualaikum dan Salam sejahtera,
Apa khabar anda hari ini? Moga sentiasa sihat hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun makin bertambah pengikut-pengikutnya. Daripada seorang, kemudian dua orang, sekarang dah jadi lima, eh, bukan lima, tapi dua puluh lima orang. Ya, 25 orang. Terima kasih saya ucapkan kepada anda. Bagi yang dah ‘follow’ blog saya tapi saya belum ‘follow’ blog anda lagi, sila maklumkan kepada saya. Mana tahu kalau-kalau saya terlepas pandang. Tip Buku Minggu Ini nak bercerita pasal Cara Salah Pupuk Minat Baca Buku. Selamat membaca.
Terdapat 3 pendekatan atau cara yang salah ketika anda ingin memupuk minat membaca buku.
Pertama, memaksa diri untuk membaca. Ini bukanlah cara yang baik untuk memupuk minat membaca. Bagaimana anda nak seronok melakukan sesuatu yang dipaksa? Macam bercintalah juga. Bolehkah cinta itu dipaksa? Pasti tak boleh. Saya sendiri mengakui masih ada beberapa buku yang sudah lama berada di rak buku saya yang saya belum baca lagi. Saya cuba memaksa diri supaya habiskan membaca buku-buku tersebut tapi malangnya baru baca dua tiga mukasurat, saya dah ‘give up’.
Yang peliknya, saya dapat menghabiskan membaca buku-buku yang saya minati dalam masa sebulan. Sebagai contoh, pada bulan Mei yang lepas, saya dapat menghabiskan dua buah buku. Ini kerana dua buah buku tersebut berkaitan dengan perkara yang saya suka. Kedua-duanya adalah buku bukan fiksyen yang mempunyai lebih 200 mukasurat! Barulah saya faham bahawa buku-buku yang berkaitan dengan perkara yang kita sukai adalah lebih mudah untuk dibaca. Kita tak rasa terpaksa membaca malah rasa suka dan rela (sukarela) membaca buku tersebut.
Kedua, merasakan aktiviti membaca buku itu menyusahkan. Sebaiknya anda ubah ‘mind set’ anda. Fikirkan bahawa aktiviti membaca buku itu menyenangkan. Cari buku-buku yang menyeronokkan dan yang berkaitan dengan perkara yang anda sukai. Sebaiknya anda meletakkan suatu objektif bahawa anda ingin mendapatkan sesuatu yang memberi manfaat kepada diri anda daripada buku tersebut.
Ketiga, menganggap aktiviti membaca adalah tugas atau kerja yang membosankan. Susah juga kalau ada anggapan sebegini. Ia bagaikan suatu tembok yang menghalang diri anda daripada membaca buku. Ubah tanggapan sebegini sekiranya ada pada diri anda. Fikirkan perkara-perkara positif yang bakal berlaku pada diri anda sekiranya anda mempunyai kecenderungan untuk membaca buku. Fikirkan apakah buku-buku yang bagus yang dapat meningkatkan pengetahuan dan tahap pemikiran anda. Secara tak langsung anda akan rasakan membaca buku bukanlah sesuatu yang membosankan malah ia menjadikan diri anda semakin bijak berbanding orang yang kurang atau tidak membaca buku.
Kesimpulannya, membaca bukanlah suatu perkara yang perlu dipaksa, dipandang sebagai perkara yang susah dan kerja yang membosankan. Buang segala tanggapan negatif tentang tabiat membaca buku. Renung-renungkan dan terima kasih kerana membaca. :)
Thursday, June 3, 2010
Pengumuman!!
Pengumuman! Perhatian!
Assalamualaikum dan Salam sejahtera,
Apa khabar anda hari ini? Moga sentiasa sihat hendaknya. Agak pelik sikit pada kali ini kerana tiba-tiba sahaja kedaibuku2u ada artikel atau entri yang dibuat pada hari ini. Yelah, selalunya artikel dibuat pada hujung minggu. Apa-apapun, artikel pada hari ini bukanlah berkenaan dengan Tip Buku Minggu Ini. Ini disebabkan saya ingin membuat pengumuman.
Sengaja saya nak berkongsi info dengan para pengunjung blog ini. Mungkin ada yang dah tahu atau belum. Jadi sebelum berlangsungnya program yang sungguh menarik ini, lebih baik saya beritahu awal-awal. Bukan apa, ada info yang bagus, lebih baik dikongsi bersama. Pastinya berita ini mengujakan para penggemar buku! :)
Program ReadMalaysia’10 merupakan satu acara pameran buku secara besar-besaran yang akan diadakan bermula 4 Jun hingga 13 Jun 2010, dari pukul 11 pagi hingga 10 malam bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Mines Resort City. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web www.readmalaysia.my
Untuk makluman anda, pelbagai genre buku terdapat di sana, malah beberapa artis terkenal juga bakal hadir untuk memeriahkan lagi acara itu. Pengacara terkenal, Aznil yang menjadi duta ReadMalaysia’10 akan berada di MIECC pada majlis pembukaan acara itu pada 4 Jun dan 5 Jun pada pukul 3 petang.
Jadi, apa tunggu lagi! Ajaklah rakan-rakan dan keluarga pergi ke Program ReadMalaysia’10 sebab masuk adalah PERCUMA! :)
Sumber : Kosmo
----------o----------
Sekadar informasi tambahan..
Minggu ni ada 2 isu yang menarik perhatian saya. Pertama, penemuan terbaru sekumpulan penyelidik tempatan bahawa Kesultanan Melayu Melaka diasaskan pada tahun 1262 dan bukannya 1400. Kedua, serbuan komando-komando Israel ke atas kapal-kapal yang menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza yang melalui perairan antarabangsa di Laut Mediterranean.
Tiba-tiba saya teringat semasa pergi ke sebuah kedai buku di PKNS, saya terjumpa sebuah buku berkenaan misi Israel untuk menakluk dunia. Tapi, memandangkan duit yang ada sudah digunakan untuk membeli buku-buku yang ingin dibeli, maka saya terpaksa lupakan hasrat untuk membeli buku tersebut. Tak mengapalah, nanti bila buku-buku yang saya beli sudah habis dibaca dan ada bajet lebih, bolehlah saya beli buku tersebut.
Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih kerana membaca.