Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Bagaimana keadaan anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun makin bertambah pengikut-pengikutnya. Terima kasih saya ucapkan kepada anda. Cuma satu saya nak pesan dan tolong ingatkan saya. Bagi yang dah ‘follow’ blog saya tapi saya belum ‘follow’ blog anda lagi, sila maklumkan kepada saya. Mana tahu kalau-kalau saya terlepas pandang. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Cara Memilih dan Membeli Buku.
Sebelum saya meneruskan penulisan artikel pada minggu ini, ribuan kemaafan saya pohonkan kepada anda yang sering mengikuti perkembangan blog ini. Pada minggu lepas, saya tidak berkesempatan untuk menyediakan artikel Tip Buku Minggu Ini kerana ada beberapa urusan penting yang perlu diselesaikan. Syukur kerana segalanya sudah selesai dan saya harap saya akan terus dapat berkongsi ilmu dengan anda melalui Tip Buku Minggu Ini. Baiklah, kita teruskan tip kali ini. Selamat membaca.
Saudara saudari yang dihormati,
Sebelum anda membeli buku, anda perlu memilih dan meneliti buku yang akan dibeli. Ini adalah penting supaya anda dapat menikmati buku yang dibeli dan merasakan suatu perbelanjaan yang berbaloi apabila anda membeli buku tersebut. Tip ini amat sesuai buat anda yang agak kekurangan bajet untuk membeli buku tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang kuat untuk membeli dan membaca buku kegemaran anda yang terdapat di kedai buku yang anda kunjungi.
Terdapat 3 perkara yang perlu anda beri perhatian ketika anda ingin membeli buku. Sebelum membeli, anda perlu memilih buku berdasarkan 3 perkara ini:-
Pertama, kualiti buku. Saya percaya anda pasti pergi ke bahagian rak-rak buku yang mengandungi buku-buku kegemaran anda mengikut topik atau bidang yang anda gemari. Namun, apa yang perlu anda perhatikan adalah kualiti buku tersebut. Terdapat sebahagian buku yang langsung tidak berkualiti tetapi meletakkan harga yang tinggi. Pembaca harus bijak menilai kualiti sesebuah buku dan nilainya yang berpatutan dengan harga yang ditetapkan. Sebut pasal harga, kita bincang dalam perkara seterusnya.
Kedua, harga buku. Kulit hadapan yang cantik dengan grafik yang mengancam, kulit keras, isi kandungan buku yang menggunakan kertas yang berkualiti tinggi serta padat dengan ilustrasi yang berwarna dan menarik menjadi punca harga buku tersebut menjadi mahal sedangkan isinya tidaklah seberapa. Harga dan kualiti adalah perkara yang amat berkait rapat antara satu sama lain. Saya sendiri pernah terjumpa buku yang dijual dengan harga yang murah sedangkan buku tersebut agak tebal dan padat dengan informasi yang menarik.
Ketiga, kepentingan buku tersebut. Selepas anda menilai kualiti dan berpuas hati dengan harga buku tersebut, adalah baik sekiranya anda memikirkan sejauh manakah kepentingan buku tersebut kepada anda. Adakah sekadar menambahkan lagi pengetahuan anda atau terdapat informasi-informasi yang berguna yang boleh anda praktikkan dalam kehidupan seharian anda? Adakah buku itu hanya untuk dijadikan bahan rujukan yang digunakan untuk tempoh waktu yang singkat atau akan diguna pakai dan dirujuk sehingga bertahun-tahun lamanya?
Kualiti, harga dan kepentingan sesebuah buku itu terletak pada diri anda sendiri. Andalah yang menilai sesebuah buku itu. Anda pasti sudah biasa mendengar pepatah Inggeris yang terkenal, “Don’t judge the book by its cover”. Selain dari melihat pada kualiti, harga dan kepentingan sesebuah buku, mungkin anda ada cara tersendiri ketika memilih dan membeli buku. Saya amat berbesar hati jika anda boleh berkongsi dengan saya dan para pembaca yang lain. Terima kasih kerana membaca. :)
Sunday, June 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment