Assalamualaikum dan Salam sejahtera,
Bagaimana keadaan anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun makin bertambah pengikut-pengikutnya. Terima kasih saya ucapkan kepada anda. Cuma satu saya nak pesan dan tolong ingatkan saya. Bagi yang dah ‘follow’ blog saya tapi saya belum ‘follow’ blog anda lagi, sila maklumkan kepada saya. Mana tahu kalau-kalau saya terlepas pandang. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Alternatif Membeli Buku. Selamat membaca.
Pada minggu lepas, saya telah menulis artikel tentang cara memilih dan membeli buku. 3 perkara yang kita perhatikan sebelum membeli buku ialah kualiti, harga dan kepentingan buku tersebut. Namun, persoalannya, adakah terdapat alternatif bagi anda sekiranya berhadapan dengan situasi ingin membeli buku yang agak mahal sedangkan buku tersebut berkualiti dan anda sangat mahu membacanya dan memilikinya ataupun amat memerlukannya.
Terdapat 4 perkara yang boleh anda lakukan sebagai alternatif ketika anda ingin membeli buku.
Pertama, diskaun. Jangan malu atau segan untuk bertanya kepada tauke kedai buku atau pembantu kedai tersebut dengan bertanyakan diskaun. Kebiasaannya, apabila saya bertanya tentang diskaun, juruwang yang berada di kaunter bayaran kedai buku itu akan bertanya kepada saya, “Ada kad ahli ……. tak?” Memandangkan saya tiada kad ahli, maka saya tidak dapat diskaun. Sekurang-kurangnya dengan bertanya, saya sudah pun mendapat info bahawa sekiranya ingin mendapat diskaun di kedai tersebut, saya perlu mendaftar dan membayar sejumlah wang untuk mendapat kad ahli. Dengan kad ahli tersebut, pasti saya akan mendapat diskaun setiap kali saya membeli buku di kedai tersebut.
Kedua, kongsi duit. Cara ini sesuai digunakan apabila buku yang ingin anda miliki itu juga menjadi buku yang diperlukan oleh orang yang rapat dengan anda. Sebagai contoh, anda adalah seorang pelajar kolej. Anda menyewa sebuah rumah dengan 3 rakan kolej anda. Anda ingin membeli buku yang berharga RM40. Setelah bertanya kepada rakan-rakan anda, mereka juga rupa-rupanya berminat untuk membeli buku tersebut. Jika anda dan 3 rakan anda bersetuju, seorang hanya keluarkan RM10 untuk mendapatkan buku tersebut. 4 orang dapat berkongsi sebuah buku. Jimat,kan? :)
Ketiga, beli terus daripada penerbit. Sekiranya rumah anda berdekatan dengan bangunan syarikat penerbit buku, apa kata anda melawat bangunan tersebut. Anda boleh membeli terus daripada penerbit buku dengan harga yang kurang sedikit daripada harga di kedai buku.
Keempat, beli di pesta buku. Pesta buku merupakan alternatif terbaik buat anda membeli buku. Pada waktu ini, penerbit-penerbit buku akan membuka gerai-gerai jualan buku hasil keluaran mereka sambil menawarkan potongan harga yang amat istimewa. Anda hanya perlu rajinkan diri anda untuk bertanya berapakah kadar diskaun pada hari pesta buku tersebut. Sebagai contoh, ketika menghadiri sebuah pesta buku, saya bertanyakan apakah tawaran menarik yang dapat saya nikmati sekiranya membeli buku pada hari tersebut. Lalu jurujual tersebut memberitahu, buku-buku yang berharga antara RM27 ke RM30 dapat dibeli dengan harga RM25. Sekiranya saya membeli lebih daripada 3 buah buku, saya akan dapat diskaun sehingga RM20 untuk sebuah buku tersebut. Tawaran potongan harga yang sangat istimewa ini membuatkan saya teruja untuk membeli 5 buah buku. Setelah selesai membuat bayaran, saya diberi hadiah istimewa, iaitu sebuah buku yang bernilai RM25 secara percuma!
Itulah dia 4 alternatif yang boleh anda lakukan untuk membeli buku. Moga info yang saya berikan kepada anda pada kali ini dapat memberi manfaat terutamanya ketika anda membuat perancangan untuk membeli buku. Renung-renungkan dan terima kasih kerana membaca. :)
No comments:
Post a Comment