Followers

Wednesday, January 12, 2011

Tip Buku Minggu Ini – Azam Tahun Baru

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya.. Diharapkan para pengikut blog ini dan pengunjung blog ini akan terus menikmati informasi yang dapat saya kongsikan dalam blog kedai buku ini. Tip Buku Minggu Ini mengajak anda membuat dan menanam Azam Tahun Baru. Selamat membaca.

Saudara/i pembaca yang saya hormati,

Tanpa kita sedari, kita telah pun masuk pertengahan bulan yang pertama iaitu bulan January pada tahun baru ini iaitu tahun baru 2011. Adakah anda sudah pun mempunyai azam tahun baru? Apakah azam anda pada tahun ini? Adakah anda sudah memulakan dan melaksanakan azam tersebut?

Sekiranya anda sudah pun menetapkan azam anda sendiri, tahniah saya ucapkan. Bagi yang belum pula, apa kata kita menanam azam untuk membaca lebih banyak buku pada tahun ini. Anda boleh meletakkan sasaran berapakah jumlah buku yang ingin anda baca pada tahun ini.

Contohnya, anda berazam untuk membaca 12 buah buku pada tahun ini. Ini bermakna, anda mensasarkan untuk membaca sebuah buku dalam masa sebulan. Bagus juga azam ini, kan? :)

Saya sendiri berazam untuk mengekalkan rekod pada tahun lepas. Lagi baik sekiranya saya dapat meningkatkan jumlah buku yang dibaca berbanding tahun lepas.

Selain itu, anda juga boleh berazam untuk mengulang kembali buku yang telah dibaca pada tahun lepas. Bagi pelajar sekolah menengah terutamanya yang berada di Tingkatan 5, anda bakal menghadapi peperiksaan SPM pada tahun 2011 ini. Anda boleh berazam untuk membaca buku Tingkatan 5 pada setiap hari dan dalam masa yang sama mengulang kembali bacaan buku rujukan dan teks Tingkatan 4.

Di sini, saya ucapkan selamat maju jaya kepada anda yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Tidak lupa juga kepada pelajar IPT yang bakal menghadapi peperiksaan pertengahan sem dan akhir sem. Jangan lupa buat tugasan kuliah! :)

Juga kepada para pekerja walau di mana jua anda berada, tahniah sekiranya anda mendapat kenaikan gaji dan kenaikan pangkat pada tahun ini. Tingkatkan produktiviti kerja anda. :)

Last but not least, kepada ahli perniagaan dan usahawan dalam apa jua bidang, semoga tahun baru 2011 ini memberi kemakmuran dan keuntungan yang berlipat ganda kepada anda di dalam perniagaan yang anda lakukan. Saya juga mengharapkan kejayaan yang sama. Insya Allah, sama-sama kita doakan. :)

Sebagai penutup, renungkan mutiara kata daripada seorang selebriti terkenal di Amerika Syarikat.

‘Railah kedatangan tahun baru kerana ia menawarkan satu lagi peluang untuk melakukan yang terbaik’

Oprah Winfrey

Saya harapkan setelah anda membaca artikel pada minggu ini, anda akan menjadi lebih bermotivasi untuk membaca buku. Terima kasih kerana membaca. :)

Saturday, January 1, 2011

Model Ekonomi Baru (MEB)

Pada 30 Mac 2010, satu Model Ekonomi Baru telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Y. Bhg. Datuk Seri Najib Razak.

Ia menggariskan 8 inisiatif pembaharuan strategik bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia ke arah melonjakkan kualiti hidup rakyat semua kaum.

Antara inisiatif itu, 2 perkara yang menarik untuk diketengahkan kepada golongan pekerja iaitu:

Pertama : Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;

Kedua : Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;

Memang menjadi impian kita menjadi sebuah negara maju, berpendapatan tinggi dan berdaya saing. Siapa yang tidak mahu pendapatannya lebih RM4,000 ke RM5,000 sebulan seperti mana hasrat MEB untuk melonjakkan pendapatan tahunan per kapita negara dari RM22,900 kepada nilai yang lebih tinggi iaitu RM49,100. Baik golongan pekerja, nelayan, buruh dan petani, semuanya akan bersetuju dengan dasar ini. Namun segala impian itu, hanya akan tinggal menjadi impian sekiranya hanya mengharapkan kerajaan untuk melaksanakannya.

Realitinya, tiada orang di dunia ini akan dibayar ribuan ringgit tanpa sebarang usaha dan hanya duduk di rumah menonton televisyen!

Membangunkan tenaga kerja yang berkualiti merupakan satu dasar yang sangat signifikan bagi memajukan negara. Selama ini pun, golongan terpelajar inilah yang telah menggerakkan negara ini untuk setanding dengan bangsa asing di dunia. Inovasi dan kreativiti mereka telah membolehkan negara berkemampuan untuk membina jentera, kereta, bangunan dan segala infrastruktur sendiri berdasarkan ilmu yang ditimba dari pelbagai sumber.

Jadi, dasar membangunkan tenaga kerja domestik supaya lebih berkualiti adalah sangat tepat pada perpekstif terkini. Malaysia akan mampu berdiri teguh dengan sumber pekerja yang kompeten dan dapat membina negara ke arah mercu yang lebih tinggi.

Menurut PM lagi 80%, daripada tenaga kerja negara hanya berpendidikan setakat SPM sahaja. Mampukah dengan taraf pendidikan sebegini memacu negara? Dengan arus globalisasi, ekonomi dunia yang mencabar dan isu-isu besar yang lain, saya sendiri ragu-ragu untuk meletakkan harapan besar kepada golongan pekerja ini.

Oleh itu, amatlah wajar untuk golongan pekerja negara ini meningkatkan tahap akademik mereka kepada taraf yang lebih tinggi iaitu setidak-tidaknya mendapat pendidikan tertiery di Instistut Pengajian Tinggi.

Hanya dengan usaha secara kolektif sahaja negara dapat menjayakan Model Ekonomi Baru ini. Ini bukanlah artikel politik untuk menaikkan dan mengkritik mana-mana pihak.

Jika anda mahu taraf kehidupan yang lebih baik, sebenarnya semua itu terletak pada diri anda sendiri. Semua yang anda rancang perlu ada strategi.

Anda ingin tahu bagaimana meningkatkan taraf akademik anda?

Lawati laman web ini.
Strategi Sambung Belajar

Yang ikhlas,

(abangbuku)