Followers

Monday, June 14, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Senarai Buku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Bagaimana keadaan anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun makin bertambah pengikut-pengikutnya. Terima kasih saya ucapkan kepada anda. Cuma satu saya nak pesan dan tolong ingatkan saya. Bagi yang dah ‘follow’ blog saya tapi saya belum ‘follow’ blog anda lagi, sila maklumkan kepada saya. Mana tahu kalau-kalau saya terlepas pandang. Tip Buku Minggu Ini mengajak anda membuat Senarai Buku. Selamat membaca.

Sebelum saya meneruskan artikel kali ini, ingin saya maklumkan bahawa Program ReadMalaysia’10 yang bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Mines Resort City baru sahaja berakhir semalam. Tahniah saya ucapkan kepada anda yang dapat meluangkan masa berkunjung ke program tersebut. Saya sendiri sempat berkunjung pada hari kedua program itu berlangsung. Yang pastinya, saya seronok dengan tawaran potongan harga yang istimewa sehingga membuatkan saya membeli lebih daripada 3 buah buku. :)

Saudara pembaca yang dikasihi,

Baiklah, untuk minggu ini saya ingin berkongsi idea dengan anda tentang bagaimana membuat senarai buku. Terdapat 3 senarai yang perlu anda lakukan ketika anda membuat senarai buku. Aktiviti ini sedikit sebanyak dapat memberi kepuasan kepada anda sebagai penggemar buku untuk melihat kemajuan dan perkembangan aktiviti pembacaan anda.

Pertama, senarai buku yang sudah dibaca. Cuba senaraikan segala buku-buku yang telah anda baca. Lagi bagus kalau anda dapat senaraikan buku pertama yang anda baca sebaik sahaja anda mula pandai membaca. Bagi saya tiada masalah sekiranya anda senaraikan juga buku teks atau buku rujukan yang anda baca ketika di sekolah. Kemudian, anda menyambung pengajian di peringkat diploma. Katakan anda perlu menghabiskan 120 jam kredit sepanjang pengajian diploma selama 3 tahun. 1 subjek kebiasaannya berjumlah 3 jam kredit. 120 bahagi 3 bersamaan 40. Ini bermakna dalam tempoh 3 tahun, anda perlu belajar 40 subjek. Secara tidak langsung, anda telah membaca 40 buah buku dalam masa 3 tahun. Wah, satu senarai yang panjang! :)

Kedua, senarai buku yang sedang dibaca. Dalam satu masa, tidak mustahil anda membaca lebih daripada sebuah buku. Sebagai contoh, pada waktu siang saya membaca buku tentang kemasyarakatan. Pada sebelah malam, saya membaca buku agama. Aktiviti ini saya lakukan pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat. Pada hujung minggu pula, saya membaca buku motivasi. Ini bermakna saya membaca 3 buah buku dalam satu masa. Jadi, dalam senarai buku yang sedang saya baca, adalah berjumlah 3 buah buku. Anda juga boleh lakukan seperti saya malah lebih lagi.

Ketiga, senarai buku yang akan dibaca. Senarai ini boleh juga menjadi senarai buku yang akan anda beli. Boleh jadi anda sudah mempunyai buku-buku di rumah tetapi belum membaca kesemuanya. Jadi, masukkan saja judul buku-buku yang anda ingin baca ke dalam senarai ini. Selain itu, anda juga boleh berkunjung ke perpustakaan. Lihat buku-buku yang ada di perpustakaan yang menarik minat anda untuk membacanya. Cuba senaraikan.

Apa yang biasa berlaku adalah sewaktu anda berkunjung ke kedai buku atau perpustakaan, terdapat buku-buku yang menarik perhatian anda. Tetapi, anda tidak mampu untuk membeli atau membaca kesemuanya. Apa yang terjadi adalah selepas anda pulang dari kedai buku atau perpustakaan, anda sudah lupa buku-buku tersebut. Saya katakan demikian kerana saya sendiri mengalaminya! Membuat senarai buku-buku yang akan anda beli dan baca adalah satu langkah yang baik dan bijak. Jadi, apa yang perlu anda lakukan adalah, sediakan sebatang pen dan sebuah buku nota kecil atau sehelai kertas. Terus catatkan! :)

Kesimpulannya, membuat senarai buku-buku yang sudah, sedang dan akan dibaca merupakan satu cara yang efektif untuk melihat perkembangan aktiviti membaca yang anda lakukan. Cuba amalkan dan selamat mencuba.

2 comments:

  1. ada tak laman2 web yg memaparkan buku2 yg dijual secara online? susah sangat nak cari esp yg berkaitan sejarah kat kedai buku kat Miri ni....

    ReplyDelete
  2. Eddy, kalau nak cari maklumat berkaitan sejarah, saya cadangkan laman blog sejarah2u.blogspot.com. Berkenaan laman web yg menjual buku online, contohnya amazon.com. Kalau ada info lain, sy akan maklumkan kepada anda. :)

    ReplyDelete