Followers

Monday, March 14, 2011

Tip Buku Minggu Ini – Baca 12 buah buku setahun

Assalamualaikum pembaca sekalian,

Pada kali ini, saya ingin berkongsi maklumat tentang jumlah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia. Moga maklumat yang disampaikan ini memberi faedah kepada kita malah lebih memotivasikan diri kita untuk membaca lebih banyak buku. Selamat membaca! :)

Seringkali kita terdengar andaian-andaian malahan kajian-kajian yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu mengenai tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Saya menggunakan perkataan “dalam kalangan” dan bukannya “di kalangan” kerana mengikut saranan dan ajaran pensyarah saya yang merupakan professor dalam bidang bahasa Melayu.

Tabiat membaca atau jumlah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia seringkali diberikan tanggapan yang kurang sesuai atau munasabah. Sebagai contoh, ada segelintir pihak yang mengatakan kononnya kajian telah dibuat dan mengatakan bahawa secara puratanya rakyat Malaysia membaca satu mukasurat sahaja setahun. Baru-baru ini, saya membaca kajian yang nampaknya lebih munasabah untuk diterima akal tentang jumlah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia.

Berikut saya paparkan sebahagian daripada artikel yang terdapat di dalam akhbar Kosmo.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar memberitahu, kajian menunjukkan rakyat Malaysia yang berusia di antara 10 hingga 40 tahun membaca sebanyak lapan hingga 12 buah buku setahun.

Dalam kajian yang sama iaitu kajian olahan semula profil membaca Malaysia 2010 mendapati, mereka yang lebih berusia membaca secara purata enam buah buku.

Secara amnya, angka ini menunjukkan peningkatan yang baik berbanding purata hanya dua buah buku seorang yang dicatatkan dalam kajian pada tahun 2005.

Raslin berpendapat, jumlah buku yang patut dibaca oleh seseorang itu sebenarnya terpulang kepada individu itu sendiri.

Namun beliau menyarankan agar setiap orang meluangkan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari untuk membaca.

Itu sahaja yang dapat saya kongsikan dengan anda pada kali ini. Terima kasih kerana membaca. :)

No comments:

Post a Comment