Followers

Sunday, May 30, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Pupuk Minat Baca Buku

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga sentiasa sihat hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun bertambah pengikutnya. Daripada seorang, kemudian dua orang, sekarang dah jadi lima orang. Terima kasih saya ucapkan. Blog ni pun dah masuk dua bulan kewujudannya. Tip Buku Minggu Ini mengajak anda Pupuk Minat Baca Buku. Selamat membaca.

Sebenarnya, apabila bercakap mengenai cara untuk memupuk minat membaca buku, ia berkaitan dengan 3 kategori. Kategori pertama, diri sendiri. Kedua, kawan-kawan. Ketiga, ahli keluarga contohnya : anak. Maknanya, samada ingin memupuk diri sendiri supaya suka membaca atau cuba memupuk minat membaca dalam kalangan kawan-kawan atau pupuk minat anak agar suka membaca buku. Jadi, lebih baik anda mulakan dengan diri sendiri dahulu!

Saudara pembaca yang saya kasihi,

Bagaimana hendak memupuk minat suka membaca? Jawapannya adalah anda perlu membaca buku-buku yang menakjubkan, menyeronokkan, menyenangkan, menarik dan yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Lihatlah buku sebagai benda yang mengujakan. Membaca adalah menyeronokkan. Ia adalah waktu untuk memberi ketenangan, pengembaraan dan penerokaan dengan menikmati cerita yang bagus. Jika anda belajar untuk suka membaca, seperti yang saya lakukan dan juga seperti yang orang lain lakukan, ia bukan lagi menjadi suatu tabiat yang perlu anda pupuk dan kembangkan TETAPI anda akan melihatnya sebagai perkara yang perlu dilakukan setiap hari.

Untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kawan-kawan atau pupuk minat anak agar suka membaca buku, caranya adalah dengan mengajak anak/kawan anda ke kedai buku, perpustakaan dan pesta buku. Cara ini dapat membiasakan anak/kawan anda dengan buku dan mencintai ilmu. Anda juga boleh lakukan cara ini kepada diri anda sendiri. Bawa diri anda sendiri ke kedai buku, perpustakaan dan pesta buku. Anda akan dapati anda semakin suka membaca dan semakin mencintai ilmu. Selamat mencuba! :)

Sunday, May 23, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Buku yang Bermusim

Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga sentiasa sihat hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun ada follower. Dapat seorang dua pun jadilah. Itu sebagai permulaan. Blog ni pun nak masuk dua bulan kewujudannya. Kalau kedai buku, mungkin bilangan pengunjung dah bertambah. Daripada 4 ke 5 orang sehari. Tip Buku Minggu Ini bercerita mengenai Buku yang Bermusim. Selamat membaca.

Sebelum saya meneruskan tip pada kali ini, terus-terang ingin saya katakan bahawa, sebenarnya, saya bercadang untuk membuat tajuk yang lain. Pada asal perancangan, saya ingin memberikan tip-tip yang berkaitan dengan perkara yang boleh memupuk minat membaca buku. Namun, berita sukan yang mengejutkan saya, iaitu kemenangan Inter Milan ke atas Bayern Munich pada Final Liga Juara Juara Eropah yang baru berlangsung awal pagi tadi telah mencetuskan idea untuk menulis sesuatu yang berkaitan dengan musim. Lantaran itu, terciptalah tajuk Tip Buku Minggu ini iaitu Buku yang Bermusim. :)

Saudara pembaca yang dihormati,

Memang tak dapat dinafikan terdapat buku-buku yang bermusim. Ia hanya muncul pada waktu-waktu tertentu sahaja. Sebagai contoh, demam World Cup bakal melanda seluruh dunia pada bulan Jun ini. Maka, jualan buku mengenai World Cup makin bertambah. Buku-buku mengenai sejarah World Cup, pasukan-pasukan yang menyertai World Cup dan lain-lain yang berkaitan dengan World Cup semakin banyak dihasilkan. Kalau pergi ke kedai-kedai buku pada masa ini, kita boleh lihat majalah-majalah dan buku-buku yang berkaitan dengan World Cup ada dijual samada dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu.

Dalam masa yang sama, saya tak nafikan akan munculnya buku mengenai juara Liga Juara Eropah pada musim ini, iaitu Inter Milan. Saya mengandaikan bukunya bertajuk, Inter Milan: The Road to Final UEFA Champions League 2009/2010. Ini cuma andaian saya sahaja. Buku tentang pengurus yang berkaliber seperti Jose Mourinho juga mungkin bakal dihasilkan. Siapa tahu mungkin anda yang membaca artikel ini boleh menulis biografi mengenai pengurus tersebut yang dinobatkan antara pengurus yang terbaik di dunia. Dah tentu jualan buku anda laku macam goreng pisang panas. Siapa tahu, kan? Bak kata pepatah Melayu “tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.”

Selain World Cup, ada lagi musim yang baru saja berakhir. Tak lain tak bukan musim Akademi Fantasia yang juga berakhir semalam. Buku-buku dan majalah-majalah yang berkaitan dengan pelajar-pelajar Akademi Fantasia banyak dihasilkan. Selepas ini, pasti buku atau majalah tentang konsert final Akademi Fantasia dan senarai pemenang akan dihasilkan dan dijual. Cerita pasal buku yang bermusim ini memang menarik untuk dibincangkan.

Anda juga boleh berkongsi pandangan tentang buku yang bermusim ini. Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih kerana membaca.

Monday, May 17, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Sejarah Buku

Salam sejahtera,

Apa khabar para pembaca yang dihormati? Moga sentiasa sihat hendaknya. Walaupun blog saya ni belum lagi mendapat followers, tapi saya yakin, insya Allah, akan ada juga yang sudi ‘follow’ blog ni. Biasala, blog baru sebulan wujud. Macam kedai jugalah, 3 bulan yang pertama biasanya tiada pengunjung. Kalau ada pun, 2-3 orang saja. Tip Buku Minggu Ini mengajak anda menyelusuri Sejarah Buku. Selamat membaca.

Sebelum kemunculan buku, manusia telah pun memiliki cara untuk menurunkan tulisan. Pada awal tamadun, manusia pada lazimnya menurunkan tulisan mereka di atas batu, papan, dan juga di atas daun. Sehubungan itu, medium tulisan awal ini adalah bentuk proto bagi buku.

Buku dikatakan muncul dalam sejarah umat manusia, apabila orang Mesir mencipta kertas papirus pada tahun sekitar 2400 SM. Adapun kertas papirus digulungkan untuk menjadi "skrol" (scroll), dan ia diyakini adalah bentuk buku yang paling awal.

Saudara pembaca yang dihormati,

Selain itu, buku juga muncul di tamadun yang lain dengan bentuk yang lain. Contohnya, di Kemboja, Sami Budha di situ membaca "buku" yang dibuat daripada daun dan amalan ini masih dikekalkan sehingga hari ini. Manakala di negeri Cina, sebelum terciptanya kertas, para cendekiawan di situ menurunkan tulisan mereka di atas lidi buluh dan mengikat lidi ini menjadi buku. Amalan menulis di atas lidi telah mempengaruhi sistem tulisan Cina sehinggakan orang Cina mengamalkan tulisan menegak sehingga pada awal zaman moden.

Buku memasuki satu era yang baru apabila industri kertas menjadi mantap. Kertas dipercayai muncul di negeri Cina seawal-awalnya pada 200 SM. Selepas itu teknologi ini dibawa oleh pedagang muslim ke Eropah sebelum abad ke-11. Dengan adanya kertas, penulisan menjadi lebih mudah kerana kertas mempunyai ciri-ciri mudah disimpan dan juga bertahan lama.

Ya, itulah dia serba sedikit sejarah ringkas mengenai buku. Mungkin anda mempunyai info lain pasal sejarah buku yang boleh dikongsi bersama? Kongsikan bersama saya dalam ruangan komen. Kalau nak hantar artikel tu kat email saya pun boleh. Ni email : abangbuku@gmail.com

Ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang perlu dikongsi bersama. Barulah ilmu dapat berkembang. :)

Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih kerana membaca.

Sumber : Wikipedia.org

Tuesday, May 11, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Pengenalan

Salam sejahtera,

Bermula minggu ini dan minggu2 seterusnya, saya akan menulis arikel ringkas mengenai buku. Kemungkinan besar saya juga akan menulis mengenai blog dan e-book. Baiklah, tanpa melengahkan masa lagi, apa kata terus saja saya mulakan minggu ini dengan Tip Buku Minggu Ini. Selamat membaca.

Apa itu buku? Saya pasti semua orang dah tahu apa itu buku. Sebabnya, kita dah kenal buku sejak kecil. Mungkin semasa kita melangkahkan kaki ke alam persekolahan (masuk Darjah Satu) atau semasa kita masuk tadika. Malah, mungkin ada juga yang dah mula kenal buku dan baca buku sebelum masuk tadika lagi. Saya pasti ada di antara anda yang masuk dalam kategori “baby genius” sebab dah cekap membaca seawal usia 3-4 tahun. Tahniah saya ucapkan atas kejayaan yang dulu..

Saudara pembaca yang dihormati,

Saya pasti disebabkan anda memang dah kenal apa itu buku, jadi anda mampu untuk memberi apa saja definisi mengenai buku. Mungkin ada yang mengatakan, buku adalah hasil susunan kertas-kertas sehingga menjadi tebal atau buku adalah kumpulan kertas yang ada tulisan dan gambar. Suka untuk saya nyatakan di sini definisi buku menurut Kamus Dewan. Sedikit sebanyak dapat menambahkan informasi anda mengenai buku. Menurut Kamus Dewan, buku ialah helaian kertas berjilid yang berisi tulisan dan sebagainya untuk dibaca atau yang mengandungi ruangan kosong untuk ditulis.

Itu sahaja sedikit info yang dapat saya kongsikan pada minggu ini. Diharapkan ada manfaat untuk diri saya dan anda. Cerita mengenai buku akan saya sambung pada minggu hadapan. Nak tahu apa dia? Tunggu.. Harap bersabar.. :)

Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih kerana membaca.