Followers

Sunday, October 31, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Jadi Pakar Dengan Membaca Buku

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya.. Diharapkan para pengikut blog ini dan pengunjung blog ini akan terus menikmati informasi yang dapat saya kongsikan dalam blog kedai buku ini. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Jadi Pakar Dengan Membaca Buku. Selamat membaca.

Berkenaan dengan topik pada minggu ini, saya ingin bertanya kepada anda. Tahukah anda bahawa anda boleh menjadi seorang pakar dengan cepat hanya dengan membaca buku???

Sebagai contoh, jika anda membaca buku motivasi, anda menjadi lebih pakar tentang motivasi berbanding dengan rakan-rakan atau saudara mara anda yang langsung tidak membaca buku motivasi tersebut. Apa pula yang akan terjadi sekiranya anda membaca beberapa buah buku lain lagi yang berkaitan dengan motivasi? Sudah tentu anda akan menjadi lebih pakar lagi dalam bidang motivasi.

Saya percaya jika anda banyak membaca buku-buku motivasi, anda akan menjadi lebih bermotivasi. Pada mulanya, anda mungkin membaca untuk menambahkan pengetahuan anda tentang motivasi atau ingin memotivasikan diri anda sendiri. Namun, jikalau anda menambahkan lagi bahan-bahan bacaan berkaitan dengan motivasi, lama-kelamaan anda pula yang akan mampu untuk memotivasikan orang lain pula. Haa..,, kan dah jadi pakar motivasi!! :)

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan orang yang menjadi pakar dan berjaya dengan cemerlang di dalam bidang yang diceburi telah membaca lebih daripada 100 buah buku yang berkaitan dengan bidang tersebut.

Pernahkah anda terbaca atau terdengar nama Anthony Robbins? Beliau merupakan pakar motivasi yang terhebat dan terkemuka di Amerika Syarikat. Anthony Robbins telah menulis sebuah buku ‘bestseller’ di seluruh dunia yang bertajuk “Awaken the Giant Within”. Buku ini telah mengubah minda ramai orang di dunia ini. Walaubagaimanapun, untuk menghasilkan buku yang luar biasa ini, beliau telah membaca lebih 700 buah buku.

Jadi, bagaimana perasaan anda sekarang? Saya harapkan setelah anda membaca artikel pada minggu ini, anda akan menjadi lebih bermotivasi untuk membaca buku. Terima kasih kerana membaca. :)

Sunday, October 24, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Kaedah Membaca Buku

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Sudah sekian lamanya saya menyepi sejak bulan Julai yang lalu. Dah habis raya pun. Jadi, suka untuk saya nyatakan di sini bahawa saya akan mula aktif berbloging kembali. Diharapkan para pengikut blog ini dan pengunjung blog ini akan terus menikmati informasi yang dapat saya kongsikan dalam blog kedai buku ini. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Kaedah Membaca Buku. Selamat membaca.

Umumnya, ramai yang suka membaca. Tak kisahlah samada membaca suratkhabar, majalah atau buku. Walaupun terdapat sesetengah kajian yang dilakukan mengatakan bahawa rakyat Malaysia kurang membaca, tetapi pada pandangan saya rakyat Malaysia gemar membaca. Buktinya, ramai yang membaca suratkhabar pada setiap hari. Ada yang membeli suratkhabar dan ada juga yang gemar membaca suratkhabar secara percuma. :)

Internet merupakan alternative bagi yang tidak membeli suratkhabar, majalah atau buku. Bilangan pengguna internet juga bertambah. Ini bermakna semakin ramai yang ingin mendapat informasi. Dan pastinya, informasi memerlukan aktiviti pembacaan.

Berkaitan dengan tajuk artikel pada minggu ini, terdapat beberapa cara atau kaedah membaca yang perlu diketahui. Ini adalah kerana ia berkaitan dengan masa. Kaedah membaca membezakan seseorang yang dapat menghabiskan tempoh pembacaannya dalam masa yang singkat atau lama.

Terdapat 4 kaedah yang boleh anda praktikkan ketika anda membaca buku.

Pertama, baca tajuk-tajuk penting atau headline. Kebiasaannya, apabila seseorang itu membaca suratkhabar, dia pasti akan melihat tajuk-tajuk besar di muka depan suratkhabar. Kemudian dia akan membelek-belek helaian demi helaian suratkhabar dan melihat tajuk-tajuk utama serta tajuk-tajuk kecil. Cara ini boleh diaplikasikan terhadap majalah dan buku. Anda hanya perlu membuka senarai isi kandungan buku tersebut dan melihat tajuk-tajuk atau subtopic yang menarik minat anda.

Kedua, baca ringkasan atau rumusan buku. Cara ini sesuai digunakan untuk buku sahaja. Cuba anda meneliti ringkasan atau rumusan buku tersebut di bahagian kulit belakang buku. Secara tidak langsung anda sudah mempunyai gambaran tentang keseluruhan isi buku tersebut.

Ketiga, membelek dan membaca sepintas lalu. Anda hanya melihat secara sepintas lalu helaian demi helaian majalah atau sesebuah buku itu. Kemungkinan besar sesekali mata anda akan terpaku pada tajuk atau subtopik yang menarik perhatian anda. Ia bergantung pada anda samada untuk membaca keseluruhan artikel yang menarik perhatian anda ataupun tidak.

Keempat, focus dan highlight. Setelah anda melihat keseluruhan isi kandungan buku, membaca rumusan buku dan melihat tajuk-tajuk utama, anda boleh memilih tajuk yang dirasakan perlu dibaca. Sebaiknya focus pada tajuk-tajuk dan artikel-arikel yang menarik untuk dibaca dan padat dengan informasi yang berguna. Anda juga boleh menggariskan atau membuat highlight dengan menggunakan highlighter pen pada isi-isi penting.

Itulah dia 4 kaedah yang boleh anda lakukan ketika membaca buku. Namun, anda juga bebas untuk membuat cara anda sendiri ketika membaca buku. Ada juga yang gemar membaca dari kulit ke kulit sesebuah buku. Dalam erti kata lain, dia membaca prakata, penghargaan, pendahuluan dan kata-akata aluan sesebuah buku termasuk senarai rujukan yang ada dalam buku tersebut. Ini bergantung kepada diri anda sendiri samada ingin menghabiskan bacaan dalam tempoh yang singkat atau lama.

Ingat! Buku boleh diibaratkan seperti kereta. Manakala pembacanya adalah seperti pemandu. Anda yang menentukan jenis buku yang ingin dibaca (dipandu) dan berapa hadlaju pembacaan (pemanduan) anda. Moga info yang saya berikan kepada anda pada kali ini dapat memberi manfaat terutamanya ketika anda ingin mencuri masa untuk membaca buku. Renung-renungkan dan terima kasih kerana membaca. :)

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum..

Ya, Syawal yang dinanti kini menjelma. Jadi, saya ingin mengucapkan kepada semua muslimin dan muslimat terutama kepada pengunjung blog ini, followers blog ni, Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Ucapan raya untuk anda semua...,

Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi,
Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa,
Dalam kelembutan lidah, ada juga ketelanjuran kata,
Dalam gurau senda tentu ada khilaf dan dosa,
Jadi sempena Syawal yg penuh mulia ini, saya ingin memohon kemaafan, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. :)

Wednesday, August 11, 2010

Selamat Berpuasa di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum..

Ya, Ramadhan datang lagi. Jadi, saya ingin mengucapkan kepada semua muslimin dan muslimat terutama kepada pengunjung blog ini, followers blog ni, Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak. Semoga ibadah puasa kita di bulan Ramadhan kali ini dapat meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita pada Yang Maha Esa.

Sekali lagi saya ucapkan Selamat Bersahur, Selamat Berpuasa dan Selamat Berbuka. Juga, selamat menunaikan solat tarawih dan bertadarus di malam hari. :)

Tuesday, July 20, 2010

Pengumuman! Perhatian!

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga sentiasa sihat hendaknya. Agak pelik sikit pada kali ini kerana tiba-tiba sahaja kedaibuku2u ada artikel atau entri yang dibuat pada hari ini. Yelah, selalunya artikel dibuat pada hujung minggu. Apa-apapun, artikel pada hari ini bukanlah berkenaan dengan Tip Buku Minggu Ini. Ini disebabkan saya ingin membuat pengumuman.

Sedar tak sedar rupa-rupanya sudah 2 minggu saya tidak menulis artikel untuk mykedai buku2u ini. Ia bukanlah sesuatu yang disengajakan. Bermula hujung Jun lepas, saya mempunyai komitmen terhadap kerja baru saya. Untuk itu, lebih baik saya beritahu awal-awal. Mykedaibuku2u akan berhenti beroperasi buat seketika sehingga hujung Ogos ini. Bukan apa, memang saya ada jadual kerja yang padat walaupun pada hari minggu.

Walaubagaimanapun, saya harapkan pada anda yang mengunjungi blog ini, sila-silakanlah melihat iklan e-book yang terdapat di sebelah kanan blog mykedaibuku2u ini. Anda boleh mendapatkan info mengenai e-book tersebut dengan ‘klik’ pada banner tersebut. 4 e-book yang saya promosikan adalah seperti berikut :

• E-book belajar vocal
• E-book strategi sambung belajar
• E-book belajar bahasa arab
• E-book belajar bahasa inggeris

Insya Allah, untuk masa-masa akan datang, saya akan cuba tambahkan lagi iklan e-book untuk membantu anda mendapatkan info2 yang lebih menarik dan semestinya, menambahkan lagi pengetahuan anda.

Sampai di sini sahaja dulu. Saya doakan kita semua sama-sama dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, sihat dan ceria selalu. Saya mohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul.

Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih kerana membaca.

Sunday, July 4, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Alternatif Membeli Buku

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Bagaimana keadaan anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun makin bertambah pengikut-pengikutnya. Terima kasih saya ucapkan kepada anda. Cuma satu saya nak pesan dan tolong ingatkan saya. Bagi yang dah ‘follow’ blog saya tapi saya belum ‘follow’ blog anda lagi, sila maklumkan kepada saya. Mana tahu kalau-kalau saya terlepas pandang. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Alternatif Membeli Buku. Selamat membaca.

Pada minggu lepas, saya telah menulis artikel tentang cara memilih dan membeli buku. 3 perkara yang kita perhatikan sebelum membeli buku ialah kualiti, harga dan kepentingan buku tersebut. Namun, persoalannya, adakah terdapat alternatif bagi anda sekiranya berhadapan dengan situasi ingin membeli buku yang agak mahal sedangkan buku tersebut berkualiti dan anda sangat mahu membacanya dan memilikinya ataupun amat memerlukannya.

Terdapat 4 perkara yang boleh anda lakukan sebagai alternatif ketika anda ingin membeli buku.

Pertama, diskaun. Jangan malu atau segan untuk bertanya kepada tauke kedai buku atau pembantu kedai tersebut dengan bertanyakan diskaun. Kebiasaannya, apabila saya bertanya tentang diskaun, juruwang yang berada di kaunter bayaran kedai buku itu akan bertanya kepada saya, “Ada kad ahli ……. tak?” Memandangkan saya tiada kad ahli, maka saya tidak dapat diskaun. Sekurang-kurangnya dengan bertanya, saya sudah pun mendapat info bahawa sekiranya ingin mendapat diskaun di kedai tersebut, saya perlu mendaftar dan membayar sejumlah wang untuk mendapat kad ahli. Dengan kad ahli tersebut, pasti saya akan mendapat diskaun setiap kali saya membeli buku di kedai tersebut.

Kedua, kongsi duit. Cara ini sesuai digunakan apabila buku yang ingin anda miliki itu juga menjadi buku yang diperlukan oleh orang yang rapat dengan anda. Sebagai contoh, anda adalah seorang pelajar kolej. Anda menyewa sebuah rumah dengan 3 rakan kolej anda. Anda ingin membeli buku yang berharga RM40. Setelah bertanya kepada rakan-rakan anda, mereka juga rupa-rupanya berminat untuk membeli buku tersebut. Jika anda dan 3 rakan anda bersetuju, seorang hanya keluarkan RM10 untuk mendapatkan buku tersebut. 4 orang dapat berkongsi sebuah buku. Jimat,kan? :)

Ketiga, beli terus daripada penerbit. Sekiranya rumah anda berdekatan dengan bangunan syarikat penerbit buku, apa kata anda melawat bangunan tersebut. Anda boleh membeli terus daripada penerbit buku dengan harga yang kurang sedikit daripada harga di kedai buku.

Keempat, beli di pesta buku. Pesta buku merupakan alternatif terbaik buat anda membeli buku. Pada waktu ini, penerbit-penerbit buku akan membuka gerai-gerai jualan buku hasil keluaran mereka sambil menawarkan potongan harga yang amat istimewa. Anda hanya perlu rajinkan diri anda untuk bertanya berapakah kadar diskaun pada hari pesta buku tersebut. Sebagai contoh, ketika menghadiri sebuah pesta buku, saya bertanyakan apakah tawaran menarik yang dapat saya nikmati sekiranya membeli buku pada hari tersebut. Lalu jurujual tersebut memberitahu, buku-buku yang berharga antara RM27 ke RM30 dapat dibeli dengan harga RM25. Sekiranya saya membeli lebih daripada 3 buah buku, saya akan dapat diskaun sehingga RM20 untuk sebuah buku tersebut. Tawaran potongan harga yang sangat istimewa ini membuatkan saya teruja untuk membeli 5 buah buku. Setelah selesai membuat bayaran, saya diberi hadiah istimewa, iaitu sebuah buku yang bernilai RM25 secara percuma!

Itulah dia 4 alternatif yang boleh anda lakukan untuk membeli buku. Moga info yang saya berikan kepada anda pada kali ini dapat memberi manfaat terutamanya ketika anda membuat perancangan untuk membeli buku. Renung-renungkan dan terima kasih kerana membaca. :)

Sunday, June 27, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Cara Memilih dan Membeli Buku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Bagaimana keadaan anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun makin bertambah pengikut-pengikutnya. Terima kasih saya ucapkan kepada anda. Cuma satu saya nak pesan dan tolong ingatkan saya. Bagi yang dah ‘follow’ blog saya tapi saya belum ‘follow’ blog anda lagi, sila maklumkan kepada saya. Mana tahu kalau-kalau saya terlepas pandang. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Cara Memilih dan Membeli Buku.

Sebelum saya meneruskan penulisan artikel pada minggu ini, ribuan kemaafan saya pohonkan kepada anda yang sering mengikuti perkembangan blog ini. Pada minggu lepas, saya tidak berkesempatan untuk menyediakan artikel Tip Buku Minggu Ini kerana ada beberapa urusan penting yang perlu diselesaikan. Syukur kerana segalanya sudah selesai dan saya harap saya akan terus dapat berkongsi ilmu dengan anda melalui Tip Buku Minggu Ini. Baiklah, kita teruskan tip kali ini. Selamat membaca.

Saudara saudari yang dihormati,

Sebelum anda membeli buku, anda perlu memilih dan meneliti buku yang akan dibeli. Ini adalah penting supaya anda dapat menikmati buku yang dibeli dan merasakan suatu perbelanjaan yang berbaloi apabila anda membeli buku tersebut. Tip ini amat sesuai buat anda yang agak kekurangan bajet untuk membeli buku tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang kuat untuk membeli dan membaca buku kegemaran anda yang terdapat di kedai buku yang anda kunjungi.

Terdapat 3 perkara yang perlu anda beri perhatian ketika anda ingin membeli buku. Sebelum membeli, anda perlu memilih buku berdasarkan 3 perkara ini:-

Pertama, kualiti buku. Saya percaya anda pasti pergi ke bahagian rak-rak buku yang mengandungi buku-buku kegemaran anda mengikut topik atau bidang yang anda gemari. Namun, apa yang perlu anda perhatikan adalah kualiti buku tersebut. Terdapat sebahagian buku yang langsung tidak berkualiti tetapi meletakkan harga yang tinggi. Pembaca harus bijak menilai kualiti sesebuah buku dan nilainya yang berpatutan dengan harga yang ditetapkan. Sebut pasal harga, kita bincang dalam perkara seterusnya.

Kedua, harga buku. Kulit hadapan yang cantik dengan grafik yang mengancam, kulit keras, isi kandungan buku yang menggunakan kertas yang berkualiti tinggi serta padat dengan ilustrasi yang berwarna dan menarik menjadi punca harga buku tersebut menjadi mahal sedangkan isinya tidaklah seberapa. Harga dan kualiti adalah perkara yang amat berkait rapat antara satu sama lain. Saya sendiri pernah terjumpa buku yang dijual dengan harga yang murah sedangkan buku tersebut agak tebal dan padat dengan informasi yang menarik.

Ketiga, kepentingan buku tersebut. Selepas anda menilai kualiti dan berpuas hati dengan harga buku tersebut, adalah baik sekiranya anda memikirkan sejauh manakah kepentingan buku tersebut kepada anda. Adakah sekadar menambahkan lagi pengetahuan anda atau terdapat informasi-informasi yang berguna yang boleh anda praktikkan dalam kehidupan seharian anda? Adakah buku itu hanya untuk dijadikan bahan rujukan yang digunakan untuk tempoh waktu yang singkat atau akan diguna pakai dan dirujuk sehingga bertahun-tahun lamanya?

Kualiti, harga dan kepentingan sesebuah buku itu terletak pada diri anda sendiri. Andalah yang menilai sesebuah buku itu. Anda pasti sudah biasa mendengar pepatah Inggeris yang terkenal, “Don’t judge the book by its cover”. Selain dari melihat pada kualiti, harga dan kepentingan sesebuah buku, mungkin anda ada cara tersendiri ketika memilih dan membeli buku. Saya amat berbesar hati jika anda boleh berkongsi dengan saya dan para pembaca yang lain. Terima kasih kerana membaca. :)