Followers

Thursday, December 30, 2010

Selamat Tahun Baru 2011

Assalamualaikum semua,..

Sedat tak sedar kita dah pun sampai ke penghujung tahun 2010. Jadi di kesempatan ini, saya ingin menulis tip yang terakhir untuk anda bagi tahun ini. Insya Allah, pada tahun hadapan, kita sambung lagi dengan tip-tip yang lain pula.

Tip Buku Minggu Ini bertajuk ‘Jumlah Buku Yang Dibaca’. Selamat membaca! :)

Saudara pembaca yang dihormati,

Untuk tip kali ini, saya ingin mengajak anda untuk mengira jumlah buku yang dibaca pada tahun ini. Ini adalah untuk melihat sejauh mana perkembangan aktiviti membaca yang telah pun kita lakukan sepanjang tahun 2010 ini.

Bermula daripada awal tahun, iaitu Januari 2010, sampailah ke akhir tahun, iaitu Disember 2010. Berapakah jumlah buku yang telah anda baca? Sebagai contoh, saya sendiri telah mengira buku yang telah pun saya baca pada tahun ini. Alhamdulillah, pada tahun ini, saya telah berjaya membaca sebanyak 20 buah buku.

Tahun 2010 merupakan tahun yang paling banyak jumlah buku yang telah saya baca. Tahun ini juga saya mencipta rekod peribadi saya sendiri. (rekod peribadi ya, bukan rekod negara atau dunia! :))

Tahun ini juga merupakan tahun di mana saya membuat perubahan terhadap diri saya sendiri. Jika dulu saya tidak pernah membelanjakan wang yang banyak untuk buku, tetapi tahun ini, banyak wang yang telah dilaburkan untuk buku. saya sendiri tidak menyangka perubahan yang ketara pada diri saya sendiri untuk tahun ini.

Bermula dengan buku tentang perniagaan, seterusnya buku tentang pengurusan kewangan, kini saya juga membaca buku-buku motivasi. Alhamdulillah, pengetahuan dan keyakinan saya juga meningkat selari dengan jumlah peningkatan buku yang dibaca.

Jadi, saya harapkan agar anda yang masih kurang membaca agar cuba menanamkan azam baru sempena tahun baru yang menjelang tiba. Buat azam sendiri untuk membaca banyak buku pada tahun 2011.

Bagi anda yang telah membaca banyak buku pada tahun ini, syabas dan tahniah saya ucapkan!:)

Apabila anda mengira jumlah buku yang telah dibaca untuk sepanjang tahun ini, saya pasti, anda akan tersenyum puas dan bersemangat untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan anda.

Kata-kata terakhir daripada saya untuk tahun 2010 yang bakal melabuhkan tirainya pada hari ini, “Jadikanlah buku sebagai teman setia anda. Tanamkan semangat dalam diri agar mencintai ilmu. Amalkan ilmu yang bermanfaat untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.”

Jumpa lagi pada tahun hadapan! Bacalah buku selalu.

Salam sayang daripada blog mykedaibuku2u untuk anda.

Terima kasih kerana membaca. :)

p/s : Tahniah juga saya ucapkan kepada skuad negara Malaysia kerana berjaya menewaskan skuad Indonesia dengan agregat 4 – 2 seterusnya menjulang piala aff Suzuki. (abangbuku pun suka bola juga! :))

Untuk artikel pada kali ini, saya ada hadiah untuk anda. Hari tu kan saya ada kata nak kongsi gambar dengan anda semasa saya mengunjungi KL Autoshow di PWTC, ingat tak? Khas untuk anda, pengunjung mykedaibuku2u… :)


Thursday, December 23, 2010

dah pergi pesta buku kanak-kanak?


salam hormat, salam buku untuk semua pencinta buku..

dah 2 hari berlangsungnya pesta buku kanak2 kuala lumpur. bagaimana pula dengan anda? dah pergi pwtc ke? saya belum lagi mengunjungi pesta buku kanak-kanak ni.

pada 2 minggu lepas, saya dah pergi pun ke pwtc untuk melihat kl autoshow. banyak juga kereta2 yang benar2 menarik perhatian dari segi design dsb.

insya Allah, andai berkesempatan, saya akan kongsikan gambar2 yang saya ambil ketika di kl autoshow. tapi x janjila.

pada yang dah pergi ke pesta buku kanak-kanak., bolehlah berkongsi pandangan dengan blogger2 lain tentang pesta buku tersebut. mana tahu ada yg menarik utk diketahui bersama.

sekian dulu untuk kali ini. tip buku akan kembali lagi pada hujung minggu ini., insya Allah..

teringat pula lagu maher zain, insya Allah.. dikhabarkan maher zain akan kembali sekali lagi ke Malaysia pada tahun depan untuk konsertnya. apa-apa hal, tunggu dan lihat perkembangan artis ini.

jumpa lagi! :)

Tuesday, December 7, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Penanda Buku Alternatif

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya.. Diharapkan para pengikut blog ini dan pengunjung blog ini akan terus menikmati informasi yang dapat saya kongsikan dalam blog kedai buku ini. Tip Buku Minggu Ini ingin bercerita tentang Penanda Buku Alternatif. Selamat membaca.

Sekiranya minggu lepas saya menulis tentang penanda buku, kali ini saya ingin menulis tentang alternative kepada penanda buku.

Saudara saudari sekalian,

Kita sedia maklum bahawa seseorang yang rajin membaca buku sememangnya memerlukan penanda buku ketika membaca sesebuah buku. Penanda buku adalah penting untuk menentukan mukasurat manakah yang sedang dibaca. Namun, persoalannya di sini, bagaimana kalau tiada penanda buku? Apa yang akan anda gunakan?

Inilah persoalan yang berlegar di fikiran saya sehingga mencetuskan idea saya untuk menulis artikel ini, iaitu penanda buku akternatif. Saya sekadar ingin berkongsi dengan anda mengenai ‘benda’ yang saya gunakan sekiranya tiada penanda buku.

· Resit

· Flyers atau pamphlet

· Kad bisnes

· Pensil

· Pembaris

Dan apa-apa saja cebisan kertas yang boleh diselitkan pada mana-mana helaian pada sebuah buku. Jadi bagaimana pula dengan anda? Mungkin anda sendiri mempunyai alternative pada penanda buku yang anda cipta sendiri? Kalau ada, apa kata kita kongsikan bersama-sama. Boleh bertukar-tukar fikiran dan ia pasti menjadi lebih menarik untuk diketahui bersama. :)

Sekian saja artikel untuk minggu ini. Ringkas sahaja namun memberikan suatu pandangan baru dari sisi yang berbeza. Terima kasih kerana membaca. Jumpa lagi!

Monday, November 22, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Penanda Buku

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya.. Diharapkan para pengikut blog ini dan pengunjung blog ini akan terus menikmati informasi yang dapat saya kongsikan dalam blog kedai buku ini. Tip Buku Minggu Ini mengajak anda untuk mengetahui sesuatu yang dipanggil Penanda Buku. Selamat membaca.

Tentu anda tertanya-tanya mengapa saya memilih tajuk penanda buku untuk tip buku pada minggu ini? Penting sangatkah penanda buku tu?

Sebagai seorang yang rajin membaca buku, anda sememangnya memerlukan penanda buku untuk menemani anda ketika membaca sesebuah buku. Penanda buku adalah penting untuk menentukan mukasurat manakah yang anda sedang baca.

Contohnya, anda membaca buku sehingga mukasurat 19. Sekiranya anda meletakkan penanda buku di mukasurat tersebut, sudah pasti anda tidak mengalami masalah untuk mencari-cari kembali mukasurat manakah yang merupakan mukasurat terakhir yang anda baca. Dalam erti kata lain, anda sudah menjimatkan masa anda untuk membaca buku tersebut.

Kadangkala terdapat sesetengah orang yang suka melipat hujung mukasurat untuk dijadikan sebagai tanda mukasurat terakhir yang dibaca. Namun begitu, amalan ini tidak begitu bagus untuk mereka yang ingin menjaga kualiti buku tersebut. Satu lagi, cara ini akan menyukarkan pembaca sekiranya buku tersebut ingin diulang baca sekali lagi. Kekeliruan pasti akan berlaku.

Anda boleh membeli pelbagai jenis penanda buku yang dijual dengan harga yang berpatutan. Malah, anda akan dapati penanda buku pada zaman sekarang semakin menarik dari segi bentuk, warna, rekabentuk dan saiz. Secara tidak lansung, penanda buku juga boleh memotivasikan kita untuk lebih seronok membaca buku. Kadang-kadang, penanda buku juga merupakan cenderahati atau produk percuma yang diberi kepada anda daripada kedai buku. :)

Jadi, apa yang ingin anda lakukan sekarang? Carilah penanda buku yang ada dalam simpanan anda dan gunakannya untuk buku yang sedang anda baca sekarang. Saya harapkan setelah anda membaca artikel pada minggu ini, anda akan menjadi lebih bermotivasi untuk membaca buku. Terima kasih kerana membaca. :)

Wednesday, November 17, 2010

Salam Aidiladha

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh Muslimin dan Muslimat tak kira di mana jua anda berada.

Semalam saya mengemas barang-barang di rumah. Sambil mengemas, saya membelek akhbar-akhbar yang saya susun di bilik saya. Kebetulan saya terjumpa artikel berkenaan aktiviti membaca yang akan dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records. Jadi, saya terfikir untuk menulis artikel tersebut di dalam blog ini.

Hari ini, saya ingin kongsikan dengan anda artikel yang menarik berkaitan dengan aktiviti membaca tersebut. Artikel tersebut telah pun saya ringkaskan. Selamat membaca.

413,595 murid catat sejarah baca buku serentak 33 minit

Kuala lumpur – Sebanyak 413,595 murid sekolah berjaya membaca buku secara serentak selama 33 minit dan 30 saat di seluruh negara.

Kesemua murid tersebut membaca buku mulai pukul 11 pagi di 982 sekolah dengan dipantau oleh guru masing-masing pada program Read 2010 Satu Negara Membaca Bersama.

Lebih 450,000 digunakan untuk tujuan tersebut dengan 50,000 daripadanya disumbang oleh penganjur program iaitu Scholastic Corporation.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong berkata, aktiviti yang bertujuan menggalakkan tabiat membaca itu akan dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records.

Ka Siong berkata, aktiviti Kem Membaca 1Malaysia dan program Scholastic Read akan dapat mendokong prinsip-prinsip utama gagasan 1Malaysia iaitu kesaksamaan dan kekitaan.

Setiap pelajar membaca sebuah buku dan aktiviti membaca mereka selama 2010 saat itu dipantau oleh pihak sekolah.

Sumber : Kosmo

Tarikh : 9 November 2010

Sunday, October 31, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Jadi Pakar Dengan Membaca Buku

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya.. Diharapkan para pengikut blog ini dan pengunjung blog ini akan terus menikmati informasi yang dapat saya kongsikan dalam blog kedai buku ini. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Jadi Pakar Dengan Membaca Buku. Selamat membaca.

Berkenaan dengan topik pada minggu ini, saya ingin bertanya kepada anda. Tahukah anda bahawa anda boleh menjadi seorang pakar dengan cepat hanya dengan membaca buku???

Sebagai contoh, jika anda membaca buku motivasi, anda menjadi lebih pakar tentang motivasi berbanding dengan rakan-rakan atau saudara mara anda yang langsung tidak membaca buku motivasi tersebut. Apa pula yang akan terjadi sekiranya anda membaca beberapa buah buku lain lagi yang berkaitan dengan motivasi? Sudah tentu anda akan menjadi lebih pakar lagi dalam bidang motivasi.

Saya percaya jika anda banyak membaca buku-buku motivasi, anda akan menjadi lebih bermotivasi. Pada mulanya, anda mungkin membaca untuk menambahkan pengetahuan anda tentang motivasi atau ingin memotivasikan diri anda sendiri. Namun, jikalau anda menambahkan lagi bahan-bahan bacaan berkaitan dengan motivasi, lama-kelamaan anda pula yang akan mampu untuk memotivasikan orang lain pula. Haa..,, kan dah jadi pakar motivasi!! :)

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan orang yang menjadi pakar dan berjaya dengan cemerlang di dalam bidang yang diceburi telah membaca lebih daripada 100 buah buku yang berkaitan dengan bidang tersebut.

Pernahkah anda terbaca atau terdengar nama Anthony Robbins? Beliau merupakan pakar motivasi yang terhebat dan terkemuka di Amerika Syarikat. Anthony Robbins telah menulis sebuah buku ‘bestseller’ di seluruh dunia yang bertajuk “Awaken the Giant Within”. Buku ini telah mengubah minda ramai orang di dunia ini. Walaubagaimanapun, untuk menghasilkan buku yang luar biasa ini, beliau telah membaca lebih 700 buah buku.

Jadi, bagaimana perasaan anda sekarang? Saya harapkan setelah anda membaca artikel pada minggu ini, anda akan menjadi lebih bermotivasi untuk membaca buku. Terima kasih kerana membaca. :)

Sunday, October 24, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Kaedah Membaca Buku

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Sudah sekian lamanya saya menyepi sejak bulan Julai yang lalu. Dah habis raya pun. Jadi, suka untuk saya nyatakan di sini bahawa saya akan mula aktif berbloging kembali. Diharapkan para pengikut blog ini dan pengunjung blog ini akan terus menikmati informasi yang dapat saya kongsikan dalam blog kedai buku ini. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Kaedah Membaca Buku. Selamat membaca.

Umumnya, ramai yang suka membaca. Tak kisahlah samada membaca suratkhabar, majalah atau buku. Walaupun terdapat sesetengah kajian yang dilakukan mengatakan bahawa rakyat Malaysia kurang membaca, tetapi pada pandangan saya rakyat Malaysia gemar membaca. Buktinya, ramai yang membaca suratkhabar pada setiap hari. Ada yang membeli suratkhabar dan ada juga yang gemar membaca suratkhabar secara percuma. :)

Internet merupakan alternative bagi yang tidak membeli suratkhabar, majalah atau buku. Bilangan pengguna internet juga bertambah. Ini bermakna semakin ramai yang ingin mendapat informasi. Dan pastinya, informasi memerlukan aktiviti pembacaan.

Berkaitan dengan tajuk artikel pada minggu ini, terdapat beberapa cara atau kaedah membaca yang perlu diketahui. Ini adalah kerana ia berkaitan dengan masa. Kaedah membaca membezakan seseorang yang dapat menghabiskan tempoh pembacaannya dalam masa yang singkat atau lama.

Terdapat 4 kaedah yang boleh anda praktikkan ketika anda membaca buku.

Pertama, baca tajuk-tajuk penting atau headline. Kebiasaannya, apabila seseorang itu membaca suratkhabar, dia pasti akan melihat tajuk-tajuk besar di muka depan suratkhabar. Kemudian dia akan membelek-belek helaian demi helaian suratkhabar dan melihat tajuk-tajuk utama serta tajuk-tajuk kecil. Cara ini boleh diaplikasikan terhadap majalah dan buku. Anda hanya perlu membuka senarai isi kandungan buku tersebut dan melihat tajuk-tajuk atau subtopic yang menarik minat anda.

Kedua, baca ringkasan atau rumusan buku. Cara ini sesuai digunakan untuk buku sahaja. Cuba anda meneliti ringkasan atau rumusan buku tersebut di bahagian kulit belakang buku. Secara tidak langsung anda sudah mempunyai gambaran tentang keseluruhan isi buku tersebut.

Ketiga, membelek dan membaca sepintas lalu. Anda hanya melihat secara sepintas lalu helaian demi helaian majalah atau sesebuah buku itu. Kemungkinan besar sesekali mata anda akan terpaku pada tajuk atau subtopik yang menarik perhatian anda. Ia bergantung pada anda samada untuk membaca keseluruhan artikel yang menarik perhatian anda ataupun tidak.

Keempat, focus dan highlight. Setelah anda melihat keseluruhan isi kandungan buku, membaca rumusan buku dan melihat tajuk-tajuk utama, anda boleh memilih tajuk yang dirasakan perlu dibaca. Sebaiknya focus pada tajuk-tajuk dan artikel-arikel yang menarik untuk dibaca dan padat dengan informasi yang berguna. Anda juga boleh menggariskan atau membuat highlight dengan menggunakan highlighter pen pada isi-isi penting.

Itulah dia 4 kaedah yang boleh anda lakukan ketika membaca buku. Namun, anda juga bebas untuk membuat cara anda sendiri ketika membaca buku. Ada juga yang gemar membaca dari kulit ke kulit sesebuah buku. Dalam erti kata lain, dia membaca prakata, penghargaan, pendahuluan dan kata-akata aluan sesebuah buku termasuk senarai rujukan yang ada dalam buku tersebut. Ini bergantung kepada diri anda sendiri samada ingin menghabiskan bacaan dalam tempoh yang singkat atau lama.

Ingat! Buku boleh diibaratkan seperti kereta. Manakala pembacanya adalah seperti pemandu. Anda yang menentukan jenis buku yang ingin dibaca (dipandu) dan berapa hadlaju pembacaan (pemanduan) anda. Moga info yang saya berikan kepada anda pada kali ini dapat memberi manfaat terutamanya ketika anda ingin mencuri masa untuk membaca buku. Renung-renungkan dan terima kasih kerana membaca. :)

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum..

Ya, Syawal yang dinanti kini menjelma. Jadi, saya ingin mengucapkan kepada semua muslimin dan muslimat terutama kepada pengunjung blog ini, followers blog ni, Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Ucapan raya untuk anda semua...,

Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi,
Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa,
Dalam kelembutan lidah, ada juga ketelanjuran kata,
Dalam gurau senda tentu ada khilaf dan dosa,
Jadi sempena Syawal yg penuh mulia ini, saya ingin memohon kemaafan, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. :)

Wednesday, August 11, 2010

Selamat Berpuasa di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum..

Ya, Ramadhan datang lagi. Jadi, saya ingin mengucapkan kepada semua muslimin dan muslimat terutama kepada pengunjung blog ini, followers blog ni, Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak. Semoga ibadah puasa kita di bulan Ramadhan kali ini dapat meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita pada Yang Maha Esa.

Sekali lagi saya ucapkan Selamat Bersahur, Selamat Berpuasa dan Selamat Berbuka. Juga, selamat menunaikan solat tarawih dan bertadarus di malam hari. :)

Tuesday, July 20, 2010

Pengumuman! Perhatian!

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga sentiasa sihat hendaknya. Agak pelik sikit pada kali ini kerana tiba-tiba sahaja kedaibuku2u ada artikel atau entri yang dibuat pada hari ini. Yelah, selalunya artikel dibuat pada hujung minggu. Apa-apapun, artikel pada hari ini bukanlah berkenaan dengan Tip Buku Minggu Ini. Ini disebabkan saya ingin membuat pengumuman.

Sedar tak sedar rupa-rupanya sudah 2 minggu saya tidak menulis artikel untuk mykedai buku2u ini. Ia bukanlah sesuatu yang disengajakan. Bermula hujung Jun lepas, saya mempunyai komitmen terhadap kerja baru saya. Untuk itu, lebih baik saya beritahu awal-awal. Mykedaibuku2u akan berhenti beroperasi buat seketika sehingga hujung Ogos ini. Bukan apa, memang saya ada jadual kerja yang padat walaupun pada hari minggu.

Walaubagaimanapun, saya harapkan pada anda yang mengunjungi blog ini, sila-silakanlah melihat iklan e-book yang terdapat di sebelah kanan blog mykedaibuku2u ini. Anda boleh mendapatkan info mengenai e-book tersebut dengan ‘klik’ pada banner tersebut. 4 e-book yang saya promosikan adalah seperti berikut :

• E-book belajar vocal
• E-book strategi sambung belajar
• E-book belajar bahasa arab
• E-book belajar bahasa inggeris

Insya Allah, untuk masa-masa akan datang, saya akan cuba tambahkan lagi iklan e-book untuk membantu anda mendapatkan info2 yang lebih menarik dan semestinya, menambahkan lagi pengetahuan anda.

Sampai di sini sahaja dulu. Saya doakan kita semua sama-sama dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, sihat dan ceria selalu. Saya mohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul.

Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih kerana membaca.

Sunday, July 4, 2010

Tip Buku Minggu Ini – Alternatif Membeli Buku

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Bagaimana keadaan anda hari ini? Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Alhamdulillah, blog kedai buku2u dah pun makin bertambah pengikut-pengikutnya. Terima kasih saya ucapkan kepada anda. Cuma satu saya nak pesan dan tolong ingatkan saya. Bagi yang dah ‘follow’ blog saya tapi saya belum ‘follow’ blog anda lagi, sila maklumkan kepada saya. Mana tahu kalau-kalau saya terlepas pandang. Tip Buku Minggu Ini memberitahu anda sedikit informasi tentang Alternatif Membeli Buku. Selamat membaca.

Pada minggu lepas, saya telah menulis artikel tentang cara memilih dan membeli buku. 3 perkara yang kita perhatikan sebelum membeli buku ialah kualiti, harga dan kepentingan buku tersebut. Namun, persoalannya, adakah terdapat alternatif bagi anda sekiranya berhadapan dengan situasi ingin membeli buku yang agak mahal sedangkan buku tersebut berkualiti dan anda sangat mahu membacanya dan memilikinya ataupun amat memerlukannya.

Terdapat 4 perkara yang boleh anda lakukan sebagai alternatif ketika anda ingin membeli buku.

Pertama, diskaun. Jangan malu atau segan untuk bertanya kepada tauke kedai buku atau pembantu kedai tersebut dengan bertanyakan diskaun. Kebiasaannya, apabila saya bertanya tentang diskaun, juruwang yang berada di kaunter bayaran kedai buku itu akan bertanya kepada saya, “Ada kad ahli ……. tak?” Memandangkan saya tiada kad ahli, maka saya tidak dapat diskaun. Sekurang-kurangnya dengan bertanya, saya sudah pun mendapat info bahawa sekiranya ingin mendapat diskaun di kedai tersebut, saya perlu mendaftar dan membayar sejumlah wang untuk mendapat kad ahli. Dengan kad ahli tersebut, pasti saya akan mendapat diskaun setiap kali saya membeli buku di kedai tersebut.

Kedua, kongsi duit. Cara ini sesuai digunakan apabila buku yang ingin anda miliki itu juga menjadi buku yang diperlukan oleh orang yang rapat dengan anda. Sebagai contoh, anda adalah seorang pelajar kolej. Anda menyewa sebuah rumah dengan 3 rakan kolej anda. Anda ingin membeli buku yang berharga RM40. Setelah bertanya kepada rakan-rakan anda, mereka juga rupa-rupanya berminat untuk membeli buku tersebut. Jika anda dan 3 rakan anda bersetuju, seorang hanya keluarkan RM10 untuk mendapatkan buku tersebut. 4 orang dapat berkongsi sebuah buku. Jimat,kan? :)

Ketiga, beli terus daripada penerbit. Sekiranya rumah anda berdekatan dengan bangunan syarikat penerbit buku, apa kata anda melawat bangunan tersebut. Anda boleh membeli terus daripada penerbit buku dengan harga yang kurang sedikit daripada harga di kedai buku.

Keempat, beli di pesta buku. Pesta buku merupakan alternatif terbaik buat anda membeli buku. Pada waktu ini, penerbit-penerbit buku akan membuka gerai-gerai jualan buku hasil keluaran mereka sambil menawarkan potongan harga yang amat istimewa. Anda hanya perlu rajinkan diri anda untuk bertanya berapakah kadar diskaun pada hari pesta buku tersebut. Sebagai contoh, ketika menghadiri sebuah pesta buku, saya bertanyakan apakah tawaran menarik yang dapat saya nikmati sekiranya membeli buku pada hari tersebut. Lalu jurujual tersebut memberitahu, buku-buku yang berharga antara RM27 ke RM30 dapat dibeli dengan harga RM25. Sekiranya saya membeli lebih daripada 3 buah buku, saya akan dapat diskaun sehingga RM20 untuk sebuah buku tersebut. Tawaran potongan harga yang sangat istimewa ini membuatkan saya teruja untuk membeli 5 buah buku. Setelah selesai membuat bayaran, saya diberi hadiah istimewa, iaitu sebuah buku yang bernilai RM25 secara percuma!

Itulah dia 4 alternatif yang boleh anda lakukan untuk membeli buku. Moga info yang saya berikan kepada anda pada kali ini dapat memberi manfaat terutamanya ketika anda membuat perancangan untuk membeli buku. Renung-renungkan dan terima kasih kerana membaca. :)